Wednesday, May 21, 2008

Kerajaan Rakyat dari Rakyat untuk Rakyat

Demokrasi bermaksud pelbagai. Iaitu bebas membuat pilihan, mempunyai hak untuk membuat sesuatu dan lain – lain. Bangsa Yunani yang memperkenalkan istilah demokrasi menakrifkan demokrasi dalam dua perkataan : Demos, rakyat dan kratein, memerintah : rakyat memerintah. Ini disokong oleh Abe Lincoln melalui kenyataannya “ a people’s government, a government by the people, for the people.

Seorang professor falsafah ( Carl Cohen 1931 ) di University of Michigan melalui bukunya demokrasi ( 1971 ) memberi tafsiran demokrasi sebagai satu bentuk kerajaan komuniti yang mana ahli dalam komuniti tersebut boleh terlibat sama secara sama rata dan saksama dalam melakukan keputusan – keputusan yang melibatkan ahli komuniti secara lansung.

Sistem pemerintahan demokrasi amat bermakna bagi sesebuah Negara yang mendaulatkan kebebasan rakyat. Ianya menggambarkan suatu system yang memberi keutamaan kepada suara dan kehendak majority rakyat. Istilah popular demokrasi ialah “ kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat ”.
Dalam system demokrasi yang berkuasa ialah rakyat. Rakyatlah yang akan menentukan siapakah yang akan membentuk dan menerajui kerajaan. Demokrasi mempunyai makna yang bertentangan dengan autokrasi.

Dalam usaha kearah mencapai matlamat Wawasan 2020 menerusi pembudayaan struktur pemikiran minda masyarakat baru Malaysia yang berorientasikan elemen keterbukaan dan ketulusan telah digariskan dengan jelas bahawa terdapat Sembilan cabaran yang harus ditempuhi. Antara cabaran yang paling sukar ditangani adalah agenda untuk membina satu bangsa Malaysia yang bersatu padu baik dari segi wilayah mahupun etnik.
Setiap Negara mempunyai kaedah dan system pemerintahannya yang tersendiri. Terdapat pelbagai nama yang diberikan untuk menggambarkan bentuk pemerintahan sesebuah Negara seperti demokrasi, sosialis, monarki dan lain – lain. Dalam system berkenaan, terdapat jenis pemerintahan yang membenarkan penglibatan rakyat dalam mengurus dan mengemudi pemerintahan Negara. Sementara itu terdapat juga pemerintahan yang tidak memberi ruang kepada rakyat utnuk terlibat dalam urusan pemerintahan Negara.

Pemerintahan demokratik tidak bertentangan dengan islam. Pemimpin memang pun dipilih dalam islam. Demikian Nabi wafat tanpa menamakan gantinya. Saidina Abu Bakar kemudian dipilih oleh para sahabat sebagai khalifah. Sekembalinya Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dipilih mengikut proses yang sama diikuti dengan Saidina Osman dan Saidina Ali. Selepas dipilih Saidina Abu Bakar terang – terang mengakui bahawa ia tidak lebih daripada sahabat – sahabat yang lain, dan jika beliau melakukan sesuatu yang salah, beliau boleh ditegur atau dipisah daripada jawatannya. Sudah tentu pemisahannya akan dibuat melalui proses yang sama iaitu musyarawah antara para sahabat iaitu cara yang cukup demokratik.

Amalan menurunkan kuasa memerintah kepada keluarga bermula dalam pemerintahan Muawiyyah. Yang jelas ialah dalam Islam hanya Nabi sahaja yang ditunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Khalifah – khalifah Al-Rasyidin yang lainnya dipilih secara demokratik. System demokrasi sesuai dengan system pemerintahan Islam. Tetapi manusia lemah dan tidak patuh kepada system, baik islam baik demokrasi. Sebab itu apa juga system yang dipilih tentu ada kelemahan dan kegagalan.

Sepanjang sejarah dunia telah wujud pelbagai doktrin demokrasi yang diamalkan oleh masyarakat dunia. Walaupun diketahui secara hakikatnya demokrasi bukanlah jenis pemerintahan yang dominant dalam sejarah dunia tetapi sejak akhir – akhir ini , pemerintahan berbentuk demokrasi adalah yang paling dominant. 3 klasifikasi utama demokrasi yang wujud atau pernah wujud ialah natural right democracy, democratic liberalism, dan contemporary democracy.

Natural rights democracy merupakan asas kepada demokrasi yang kita ketahui hari ini. Teori awal ini diambil dari undang – undang alam, law of nature, yang telah diletakkan oleh Tuhan, dimana semua manusia adalah warga alam semesta dan wujud satu kod semesta yang menegakkan hak dan kebenaran. Dalam kod kebenaran ini, semua insan mempunyai hak yang sama untuk bebas dan terlibat dalam pemerintahan sesebuah kerajaan. Idea mengenai teori ini diketengahkan secara meluas oleh John Locke ( 1632 – 1704 ) melalui tulisannya , second treatise of Government.

Walaupun begitu, idea awal demokrasi ini berubah kepada apa yang dipanggil Democratic Liberalism pada abad ke – 19 apabila system demokrasi mula mendapat tempat secara peribadi dan secara komuniti dikebanyakkan kawasan Eropah dan Amerika utara. Teori baru ini mengetengahkan pendapat bahawa demokrasi hendaklah berdasarkan kepada idea untuk mencapai kegembiraan manusia atau kebaikan mutlak untuk jumlah terbesar : the greatest good for the greatest number.

Namun demikian, timbul pula persoalan sejauh mana kerajaan boleh masuk campur dalam urusan – urusan ini. Maka dengan itu wujud 2 mazhab dibawah teori Contemporary Democracy. Petama ialah democratic capitalism yang bersandarkan kepada prinsip – prinsip seperti mengakui perlunya campur tangan kerajaan dalam perkara seperti ekonomi tetapi memberi penekanan penting terhadap kebebasan individu dan kebebasan dalam hal ehwal ekonomi taua persyarikatan berdasarkan kepada hujah dan teori Burke dan Bentham.

Keduanya ialah democratic socialism yang menitik berat tentang perubahan yang radikal terhadap struktur masyarakat dan menekan perlunya pengawalan komuniti yang lebih daripada keadaan semasa serta kerjasama dalam mencapai objektif ekonomi yang sama berdasarkan kepada teori Hobhouse dan Dewey. Kedua – dua teori dibawah Contemporary Democracy ini mengekalkan komitmen dalam menyokong idea – idea asas demokrasi dan prosedur – prosedur didalamnya.

Malaysia boleh diambil sebagai contoh. Sebuah Negara baru dalam dunia jika dibandingkan dengan Negara – Negara lain ; sejak kemerdekaan lagi Malaysia telah memilih demokrasi sebagai asas kerajaan. Untuk pergi secara spesifik samada Malaysia mengamalkan kapitalisme atau sosialisme adalah sukar kerana wujud tindanan kedua – duanya. Adalah selamat untuk mengandaikan bahawa demokrasi kontemprorari amalan Malaysia adalah satu campuran kedua – dua teori dengan mengambil perkara – perkara positif untuk mengimbangi keperluan masyarakat majmuk Negara.

Demokrasi di Malaysia adalah berasas kepada konsep Demokrasi berparlimen dimana parlimen merupakan badan yang berkuasa didalam Negara dan mampu melakukan perkara – perkara seperti membuat undang – undang / akta, mengawal dan mengawasi perbelanjaan an kerajaan. Hak – hak rakyat adalah terpelihara dibawha Perlembagaan Negara dan Parlimen tidak boleh sesuka hati membatalkan undang – undang seperti Parlimen di Britain. Ini adalah kerana Parlimen Malaysia mendapat kuasa dari Perlembagaan maka dengan itu hak – hak dan undang- undang dalam Perlembagaan adalah terjamin.

Walaupun diberi kebebasan hak oleh Perlembagaan, rakyat tidak boleh melakukan sesuatu secara tidak rasional. Sebagai contoh , penyuaraan pendapat adalah dibenarkan dlaam Negara kita tetapi jika pendapat yang dikeluarkan adalah berbentuk hasutan dan boleh mengancam kestabilan Negara maka beliau boleh ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA – Internal security Act ) dan kebebasan hak bersuara beliau telah menjadi void kerana tindakannya itu.

Demokrasi di Negara kita adalah demokrasi terkawal atau demokrasi terbatas tetapi kawalan itu wujud untuk melindungi kedudukan umum yang lebih besar jmlahnya, sama seperti konsep dalam Democratic Liberalism – the gretest good for the greatest number.

Teori demokrasi dalam pembentukan sebuah kerajaan mula mendapat tempat. Keruntuhan Soviet dan pembukaan China kepada dunia, 2 gergasi utama yang memperjuangkan doktrin komunis sudah jelas membayangkan demokrasi sebagai sebuah teori sebuah kerajaan kontemporari hari ini. Walaupun begitu , wujud banyak jenis (flavour) dalam demokrasi hari ini dan smeuanya dibuat berdasarkan kepada keperluan dan kehendak satu masyarakat dalam sesebuah Negara itu.

Oleh itu , tidak wujud satu doktrin demokrasi yang boleh dipersetujui dan diterimapakai oleh ahli falsafah dan pemikir demokrasi. Ini adalah kerana tidak wujud satu individu atau badan untuk ahli democrat membuat rujukan sebagai sumber utama demokrasi. Juga tidak wujud satu kanun penulisan yang bertindak sebagai sumber rujukan atau democratic gospel yang boleh dijadikan panduan dan mampu dipakai dimana – mana.

Ironiknya , kesemua Negara yang mengamalkan demokrasi mengatakan merekalah kerajaan demokrasi tulen , sungguhpun tidak wujud demokrasi tulen yang boleh dibuat benchmark atau perbandingan. Apa yang dipersetujui ialah demokrasi adalah aliran utama ( mainstream ) bagi teori pembentukan sebuah kerajaan dan demokrasi hendaklah dalam linkungan dan batasan kawalan tertentu untuk memastikan keberkesanannya terjamin.

Demokrasi merupakan suara rakyat. Perjalanan demokrasi berparlimen yang berlansung selama ini semestinya dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia. Sebarang tindakan untuk mendapatkan kuasa dengan cara yang tidak demokratik seperti menimbulkan kekacauan, keganasan, gerakan, militant, penyebaran dakyah palsu, ideology benci – membenci , penggunaan emosi dan sentimen yang mengelirukan serta penyebaran fitnah harus ditolak. Rakyat harus mempertahankan demokrasi kerana ianya adalah lambing kedaulatan rakyat.

Demokrasi yang kita amalkan di Malaysia tidak sama dengan demokrasi ala Barat. Demokrasi Barat juga tidak sempurna, bahkan mempunyai unsure – unsure kezaliman dan gagal mendatangkan hasil yang terbaik. Tetapi ini adalah kerana Negara Barat sudah menjadikan demokrasi sebagai suatu agama, sama seperti ideology komunis dijadikan oleh mereka sebagai agama. Kerana taksub dengan demokrasi, apa sahaja yang dibuat atas nama demokrasi tidak boleh dianggap cacat walaupun jelas hasilnya buruk.

Di barat ramai yang kononnya menerima demokrasi sebagai system politik, tetapi kerana tidak faham apa dianya demokrasi,mereka telah menjadi mangsa demokrasi tanpa sedikit pun memperolehi manfaat. Bangsa – bangsa barat cuba mendakwa bahawa demokrasi tidak cacat dan menganggapnya sebagai satu system yang tidak siapa boleh mempertikaikan atau mengubahnya. Mereka mencipta slogan ‘ Vox Populi, Vox Dei’ iaitu suara ramai adalah suara Tuhan. Demokrasi bukanlah suara Tuhan dan jauh daripada sempurna bahkan ia penuh dengan kecacatan yang boleh membinasakan pengamalnya dan menjadikan mereka mangsa kezaliman demokrasi yang tidak kurang buruknya daripada kezaliman system feudal atau dictator.

Demikian kerana inginkan demokrasi, orang Afghan menjatuhkan Kerajaan Beraja mereka. Tetapi hari ini Kabul hancur dan beratus ribu rakyat Afghan terbunuh dan dibunuh, Negara – Negara demokratik barat yang berdakwah berkenaan dengan demokrasi hanya membekalkan senjata untuk orang Afghan membunuh orang Afghan.

Disebuah Negara demokratik Barat, puak Yahudi yang kaya dan amat berpengaruh dapat menguasai Pemerintahan secara tidak lansung melalui kekayaan dan kedudukan mereka. Kerana takut minority ini mengalahkan mereka dalam pemilihan Presiden, kepimpinan Negara menyokong keganasan dan tindakan yang tidak demokratik yang dilakukan oleh Israel.

Di Bosnia juga yang telah menuntut kemerdekaan kerana percaya kepada demokrasi dan sokongan oleh Negara – Negara demokrasi yang kononnya tidak akan membenar sesiapa mencabul demokrasi dan hak asasi manusia. Kemudian membunuh ratusan ribu orang islam Bosnia, pemimpin Negara – Negara Barat kerana takut jika askar mereka terkorban sedikit kernana melindungi rakyat bosnia maka pengundi mereka mengalahkan parti mereka, telah membiarkan Serb membunuh ratusan ribu orang Bosnia dan mengganas dengan bebas terhadap orang islam.

Negara – Negara demokrasi yang sama juga sanggup mengepung dan mengawal bekalan makanan dan ubat kepada rakyat yang lemah dan tidak terdaya kerana mahu memaksa mereka menjatuhkan pemerintahan Negara mereka. Kerana gagal, anak mereka , pesakit dan orang tua menderita dan menjdi mangsa sekatan makanan dan ubat- ubatan oleh Negara demokratik.

Demikian suara ramai dan amalan demokrasi di satu Negara boleh menjadi penindasan dan penyeksaan di Negara lain. Dan dinegara demokrasi sendiri rakyat tidak dapat hidup aman, stabil dan tenteram kerana demokrasi melumpuhkan siapa sahaja yang dipilih untuk memerintah. Diwaktu sama apabila dalam demokrasi rakyat berbelah bahagi, bukan suara rakyat yang menentukan siapa yang memerintah tetapi puak minority yang menentukan siapa sebenarnya berkuasa dengan memihak kepada satu pihak lain asalkan tuntutan mereka, iaitu puak minority ini diutamakan.

Contoh - contoh ini perlu diambilkira supaya kepercayaan kepada demokrasi tidak keterlaluan dan fanatic. Tetapi contoh – contoh ini tidak harus menyebabkan kita menolak system demokrasi secara total.

Yang jelasnya ialah demokrasi atau pemerintahan oleh majority rakyat, terdedah kepada berbagai – bagai tafsiran dan boleh dilaksanakan melalui berbagai – bagai cara. Sekarang ini cara yang menidakkan hak majority rakyat pun boleh ditafsir dan diterima sebagai demokratik dan diamalkan. Demikian juga pegangan kepada cara yang lebih mengutamakan pendapat individu sehingga suara majority boleh dibelakangkan pun dikatakan demokratik.

Inilah keadaan di Barat sekarang yang begitu bangga dengan demokrasi mereka dan percaya hanya demokrasi mereka sahajalah yang tepat dan patut diterimapakai oleh seluruh dunia. Taksub dengan pegangan mereka maka mereka lupa erti demokrasi. Dengan itu mereka menggunakan kekerasan untuk memaksa Negara – Negara lain menerima demokrasi jenis mereka.mereka sudahpun lupa bagaimana mereka dahulu menentang kekerasan kerana ia adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi. Apa bezanya penggunaan kekerasan dalam penyebaran ideology komunis atau ‘fascist’ dengan kekerasan dalam penyebaran demokrasi?

Kita diMalaysia telah memilih demokrasi kerana kita percaya rakyat lebih tahu bagaimana mereka harus diperintah. Bahawa mereka berasal daripada masyarakat feudal terbukti dengan pengekalan perkataan ‘ kerajaan’ iaitu pemerintahan oleh Raja, sebagai nama untuk institusi pemerintahan. Walaupun di Malaysia kita masih kekalkan system beraja tetapi raja tidak lagi memerintah atau mempunyai kuasa mutlak. Kita mengamalkan demokrasi menjadi jelas kerana badan yang memerintah iaitu jemaah menteri dianggatoi oleh wakil – wakil yang dipilih oleh rakyat.

Raja diletak sebagai kepala Negara. System ini yang diambil daripada system Raja Berperlembagaan atau ‘Constitutional Monarchy’ British, memberi tempat kepada Raja tanpa menidakkan hak rakyat. Namun demikian bukan system yang penting tetapi kesanggupan semua pihak rakyat mengamalkan demokrasi mengikut semangatnya dan tidak semata – mata mengikut konsep dan peraturan – peraturannya yang menentukan sama ada demokrasi diamalkan atau tidak.

Rakyat sepatutnya memilih wakil yang akan membentuk Kerajaan mengikut keupayaan, dasar dan program yang secara ikhlas dijanjikan oleh parti – parti yang bertanding. Sudah tentu jika rakyat menggunakan kuasa pemilihan mereka dengan bijak, wakil dan Kerajaan akan terdiri daripada mereka yang betul – betul berkeupayaan , cekap, jujur dan bertanggungjawab.

Malaysia mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan seperti mana yang dinyatakan dalam perkara 44 perlembagaan persekutuan. Dalam system ini, kuasa perundangan persekutuan terletak kepada Parlimen yang mengandungi Yang Di-Pertuan Agung dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang – undang Negara. Tugasnya ialah untuk mengubal undang- undang dan dasar – dasar melalui kuasa yang diberi kepadanya oleh rakyat

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana bebas untuk menentukan sendiri bentuk dan corak pemerintahan yang dikehendaki melalui amalan demokrasi berparlimen. Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Negara kita telah menjadi model Negara membangun melalui amalan demokrasi. Selaras dengan itu rakyat telah membuat pilihan yang bijak dengan memilih sebuah kerajaan yang mantap dan berpandangan jauh.

Pembangunan berterusan yang mengutamakan kepentingan rakyat disamping kejayaan cemerlang mengurus dan mentadbir Negara ini adalah factor utama mengapa rakyat memberi kepercayaan dan sokongan yang berterusan kepada kerajaan yang ada. Selain itu kekuatan ekonomi, kestabilan politik, perpaduan antara kaum, keamanan dan kemakmuran Negara telah memberi keselesaan hidup kepada rakyat.

Kini rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kemajuan yang telah dicapai. Rakyat telah mendapat faedah yang besar kerana membuat pilihan yang bijak dalam menentukan kerajaan yang memerintah di Negara ini. Pembangunan yang berterusan di Malaysia sejak merdeka sehingga sekarang ternyata yang menguntungkan rakyat.

Kerajaan yang dibentuk oleh rakyat melalui pilihanraya lalu nyata terus mendapat sokongan. Rakyat majority terus mahukan kerajaan yang boleh menjamin kehidupan dan impian mereka yang tercapai dalam pelbagai aspek, terutama kea rah sebuah Negara maju menjelang 2020. Kemajuan ekonomi, social, politik, pentadbiran, komunikasi, dan pendidikan merupakan asas yang penting dalam landasan sebenar. Kini rakyat sedang menuju kea rah kejayaan dan kecemerlangan hidup dan terus menerus menikmati kualiti hidup yang semakin tinggi.


Demokrasi Malaysia bukanlah agama. Kita sedar akan kebaikan system demokrasi tetapi tidak terlalu taksub dengannya sehingga menerima tanpa soal semua yang dibuat dengan nama demokrasi. Kita sanggup menegur dan menerima teguran terhadap demokrasi yang kita amalkan.

Kita tidak akan lupa bahawa yang penting ialah kebaikan rakyat dan Negara. Demokrasi bukanlah untuk demokrasi tetapi untuk rakyat dan Negara. Jika rakyat dan Negara memperolehi kebaikan maka kita akan terima amalan – amalan yang dikatakan demokratik. Jika rakyat dan Negara memperolehi keburukan daripada satu – satu amalan yang dikatakan demokratik kita akan utamakan kebaikan untuk Negara dan rakyat dan mengenepikan soal demokratik atau tidak.

Demikan tunjuk perasaan yang keterlaluan dan mogok sepanjang masa yang dianggap demokratik oleh puak liberal tetapi boleh membinasakan ekonomi dan kestabilan politik sehingga rakyat merana dan Kerajaan ditumbang dan disusuli dengan nasib yang sama bagi Kerajaan yang mengganti, maka tunjuk perasaan yang keterlaluan dan mogok umum perlu dihentikan melalui kuasa yang ada pada kerajaan.

Demokrasi tidak sempurna seratus peratus. Terdapat banyak kecacatan dalam demokrasi tetapi berbanding dengan system – system pemerintahan yang lain, ia adalah yang terbaik sekali yang pernah dicipta oleh manusia terutama untuk Negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Justeru itu,kita perlu kekalkan system demokrasi di Negara kita. Jika majority rakyat faham akan had dan kelemahan – kelemahan tertentu yang terdapat dalam demokrasi, amalannya tidak akan membawa kerosakan. Seballiknya amalan cara demokrasi yang pragmatic boleh membawa kebaikan, sepertimana kita telah memperlihatkannya di Negara ini. Setelah 50tahun UMNO mengamalkan demokrasi dalam parti dan kerajaan, masanya sudah tiba untuk kita menganalisa system ini dan mengenali baik buruknya agar dapat kita kenal mana intan dan yang mana kaca yang terdapat dalam system pemerintahan ini.

No comments: